Sunday, April 21, 2013

SELAMAT MENGHADAPI PEPERIKSAAN AKHIR SEMESTER


SELAMAT MENGHADAPI PEPERIKSAAN AKHIR SEMESTER SESI DISEMBER 2012

Terlebih dahulu saya mewakili seluruh warga Hal Ehwal Pelajar, Politeknik Muadzam Shah ingin mengucapkan Selamat menduduki peperiksaan Akhir Semester Sesi Disember 2012 yang akan bermula pada 22 April 2013. Pihak kami juga sentiasa mendoakan kejayaan anda semua. Buatlah yang terbaik untuk diri dan masa depan anda.

Berikut ada beberapa tip untuk menghadapi peperiksaan yang boleh kita kongsi bersama :

Semak Jadual Peperiksaan

Menyemak jadual peperiksaan itu penting bagi menentukan masa cukup untuk belajar, khususnya pada saat-saat akhir ini. Latih tubi perlu dipergiatkan untuk mempertajamkan lagi daya ingatan anda. Apa yang ingin saya ingatkan disini ialah semak jadual waktu dengan teliti kerana ada kes yang berlaku didapati bahawa peperiksaan berlangsung pada waktu pagi, manakala pelajar datang pada waktu petang. Jadi buatlah persiapan yang rapi untuk menghadapi peperiksaan tersebut.

Kunci Peperiksaan

Peperiksaan menuntut pelajar membuat banyak latihan dan ulangkaji bagi mengingati pelajaran lalu, selain mengelak diri daripada lupa fakta ketika menjawab soalan. Baca arahan dan kehendak soalan dan jawablah dengan hati yang tenang bukan mengikut sesedap hati. Nanti markah yang diperolehi juga akan menjadi sesedap hati pensyarah yang menanda kertas jawapan.

Tentukan Keutamaan

Kebanyakan pelajar suka belajar pada sat-sat akhir. Jika ini berlaku anda perlu mengutamakan kursus atau subjek yang mempunyai nilai kredit yang tinggi berbanding dengan nilai kredit yang rendah kerana nilai kredit yang tinggi yang mempengaruhi keputusan peperiksaan anda. Jangan sekali-kali belajar subjek yang anda sukai saja, sebaliknya hendaklah merangkumi semua.

Banyak Mengingat dan Mambuat Kaitan

Mengingat adalah satu perkara yang penting yang mesti dilakukan oleh pelajar dalam menghadapi peperiksaan terutama soalan yang berkaitan dengan fakta. Pelbagai cara yang boleh digunakan untuk mengingat, antaranya latih tubi dan belajar berulang kali mengenai sesuatu perkara. Selain daripada itu kenalah banyak makan kismis minda.



Merancang Persiapan Peperiksaan

Kesihatan diri jangan diabaikan. Walaupun anda bersemangat untuk menduduki peperiksaan, jangan keterlaluan hingga lupa makan dan minum. Ini kerana keadaan itu boleh menyebabkan anda jatuh sakit. Tidur juga hendaklah mencukupi supaya sentiasa selesa dan dapat memberi tumpuan terhadap pelajaran.

Elakkan terbabit dengan situasi yang boleh mengganggu perasaan

Menjelang peperiksaan, pelbagai dugaan mungkin dihadapi. Oleh itu anda seharusnya sentiasa bersedia menghadapi apa saja dugaan yang boleh mengganggu perasaan. Selepas menunaikan solat 5 waktu, berdoalah supaya Allah tenangkan perasaan dan dapat fokuskan tumpuan terhadap peperiksaan.

Berdoa dan Bertawakkal

Dalam hal ini, anda tidak seharusnya kurang yakin dengan potensi diri yang ada untuk menghadapi peperiksaan jika kita telah membuat persediaan yang rapi. Sepatutnya kita perlu banyak berdoa dan tawakkal kepada Allah kerana Allah jua yang menentukan segalanya. Terimalah ketentuan ilahi.

Akhirkata Selamat Menghadapi Peperiksaan dan buatlah persiapan yang cukup untuk menghadapi peperiksaan itu nanti.


0 comments:

Post a Comment