Sunday, April 21, 2013

SELAMAT MENGHADAPI PEPERIKSAAN AKHIR SEMESTER


SELAMAT MENGHADAPI PEPERIKSAAN AKHIR SEMESTER SESI DISEMBER 2012

Terlebih dahulu saya mewakili seluruh warga Hal Ehwal Pelajar, Politeknik Muadzam Shah ingin mengucapkan Selamat menduduki peperiksaan Akhir Semester Sesi Disember 2012 yang akan bermula pada 22 April 2013. Pihak kami juga sentiasa mendoakan kejayaan anda semua. Buatlah yang terbaik untuk diri dan masa depan anda.

Berikut ada beberapa tip untuk menghadapi peperiksaan yang boleh kita kongsi bersama :

Semak Jadual Peperiksaan

Menyemak jadual peperiksaan itu penting bagi menentukan masa cukup untuk belajar, khususnya pada saat-saat akhir ini. Latih tubi perlu dipergiatkan untuk mempertajamkan lagi daya ingatan anda. Apa yang ingin saya ingatkan disini ialah semak jadual waktu dengan teliti kerana ada kes yang berlaku didapati bahawa peperiksaan berlangsung pada waktu pagi, manakala pelajar datang pada waktu petang. Jadi buatlah persiapan yang rapi untuk menghadapi peperiksaan tersebut.

Kunci Peperiksaan

Peperiksaan menuntut pelajar membuat banyak latihan dan ulangkaji bagi mengingati pelajaran lalu, selain mengelak diri daripada lupa fakta ketika menjawab soalan. Baca arahan dan kehendak soalan dan jawablah dengan hati yang tenang bukan mengikut sesedap hati. Nanti markah yang diperolehi juga akan menjadi sesedap hati pensyarah yang menanda kertas jawapan.

Tentukan Keutamaan

Kebanyakan pelajar suka belajar pada sat-sat akhir. Jika ini berlaku anda perlu mengutamakan kursus atau subjek yang mempunyai nilai kredit yang tinggi berbanding dengan nilai kredit yang rendah kerana nilai kredit yang tinggi yang mempengaruhi keputusan peperiksaan anda. Jangan sekali-kali belajar subjek yang anda sukai saja, sebaliknya hendaklah merangkumi semua.

Banyak Mengingat dan Mambuat Kaitan

Mengingat adalah satu perkara yang penting yang mesti dilakukan oleh pelajar dalam menghadapi peperiksaan terutama soalan yang berkaitan dengan fakta. Pelbagai cara yang boleh digunakan untuk mengingat, antaranya latih tubi dan belajar berulang kali mengenai sesuatu perkara. Selain daripada itu kenalah banyak makan kismis minda.



Merancang Persiapan Peperiksaan

Kesihatan diri jangan diabaikan. Walaupun anda bersemangat untuk menduduki peperiksaan, jangan keterlaluan hingga lupa makan dan minum. Ini kerana keadaan itu boleh menyebabkan anda jatuh sakit. Tidur juga hendaklah mencukupi supaya sentiasa selesa dan dapat memberi tumpuan terhadap pelajaran.

Elakkan terbabit dengan situasi yang boleh mengganggu perasaan

Menjelang peperiksaan, pelbagai dugaan mungkin dihadapi. Oleh itu anda seharusnya sentiasa bersedia menghadapi apa saja dugaan yang boleh mengganggu perasaan. Selepas menunaikan solat 5 waktu, berdoalah supaya Allah tenangkan perasaan dan dapat fokuskan tumpuan terhadap peperiksaan.

Berdoa dan Bertawakkal

Dalam hal ini, anda tidak seharusnya kurang yakin dengan potensi diri yang ada untuk menghadapi peperiksaan jika kita telah membuat persediaan yang rapi. Sepatutnya kita perlu banyak berdoa dan tawakkal kepada Allah kerana Allah jua yang menentukan segalanya. Terimalah ketentuan ilahi.

Akhirkata Selamat Menghadapi Peperiksaan dan buatlah persiapan yang cukup untuk menghadapi peperiksaan itu nanti.


Tuesday, April 16, 2013

MENGUBAH DESTINI ANAK BANGSA



DASAR, PROSEDUR DAN KRETERIA PEMILIHAN MEKANISME MOD KEMASUKAN BAHARU BAGI BOTTOM 40% HOUSEHOLD

PEMILIHAN PELAJAR

Pemilihan pelajar adalah terdiri daripada mereka yang memiliki kelayakan akademik yang minimum, iaitu memenuhi Syarat Am Universiti dan Syarat Khas Program Pengajian yang ditetapkan serta melalui proses penetapan status yang mempunyai nilai kesahan dan integriti yang tinggi seperti berikut :

i)        Status Sosioeknomi calon dan ibubapa yang merangkumi pendapatan bulanan serta bilangan tanggungan keluarga, pekerjaan ibubapa atau penjaga, status ibu atau bapa tunggal dan status anak yatim ;

ii)        Status tempat tinggal dan sekolah yang merangkumi lokaliti tempat tinggal, status sekolah, jenis rumah yang diduduki,

iii)     Status kaum calon, ibu bapa atau penjaga yang merangkumi status kewarganegaraan serta status kaum calon, ibu bapa atau penjaga.

iv)       Status kesihatan atau kecacatan calon, ibu bapa atau penjaga yang merangkumi status OKU serta status kesihatan ibu bapa atau penjaga yang uzur atau berusia atau calon, ibu bapa atau penjaga yang mengidap penyakit kronik yang memerlukan rawatan susulan dan

v)       Status penerimaan bantuan atau kebajikan dari Kerajaan oleh ibu bapa atau calon yang merangkumi status pendaftaran atau status penerimaan bantuan bulanan, biasiswa, dermasiswa atau pinjaman oleh calon, ibu bapa atau penjaga.



BILANGAN TEMPAT

Bilangan tempat yang disedikan kepada pelajar berkaitan tidak mengganggu unjuran dan kapasiti ambilan pelajar sedia ada di IPTA dan politeknik. Semua IPTA dan politeknik boleh menyediakan sekurang-kurangnya 100 tempat kepada pelajar berkaitan bagi semua peringkat pengajian yang ditawarkan. Bilangan tempat ini melibatkan 100 tempat bagi setiap IPTA dan 100 tempat bagi setiap politeknik. Anggaran pelajar yang terlibat adalah sejumlah 5,200 orang pelajar.

PEMBIAYAAN PENGAJIAN

Pelajar yang terpilih melanjutkan pengajian pada peringkat Diploma di Politeknik akan dibiayai oleh Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional berdasarkan syarat dan prosedur sedia ada.



IMPLIKASI KEWANGAN

Pelaksanaan mekanisme mod kemasukan baharu Bottom 40% household bagi pelajar pada peringkat diploma di politeknik tidak memberikan implikasi tambahan peruntukan kewangan kepada kerajaan kerana mengguna pakai peruntukan sedia ada oleh politeknik.

Wednesday, April 10, 2013

MENGUBAH DESTINI ANAK INDIA MALAYSIA (MDAIM)



Dasar Kerajaan iaitu Program Mengubah Destini Anak India Malaysia telah dilancarkan di Politeknik Port Dickson bagi membantu anak-anak daripada kaum India yang berpendapatan kurang dari RM 3,000.00 dan tidak mempunyai syarat minimum bagi kemasukan ke Politeknik KPTM diberi peluang kedua mengubah nasib diri mereka. Tawaran ini khas ditujukan kepada anak-anak daripada masyarakat India yang tidak mencapai gred kemasukan biasa dan apa yang lebih penting adalah mereka ini golongan yang berpendapatan rendah yang perlu diberi bantuan. Dengan cara ini diharapkan mereka dapat mengubah diri dan nasib mereka di dalam menuju kearah peningkatan ekonomi keluarga dan Negara. Program ini adalah satu program Pra-Diploma yang memberi laluan khas kepada lulusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) daripada kaum India di Negara kita.


Ini adalah satu lagi usaha kerajaan membantu mereka yang tidak bernasib baik untuk mengubah nasib mereka selaras dengan system pengajian tinggi yang memastikan semua golongan berpeluang melanjutkan pelajaran ke IPTA. Melalui program Pra –Diploma ini juga, peratusan kemasukan pelajar India di Politeknik dapat ditingkatkan melebihi 10 peratus bagi setiap tahun. Berdasarkan daripada perangkaan yang dibuat didapati bahawa pada tahun 2012 sebanyak 3,910 daripada 110,513 permohonan kemasukan ke politeknik bagi lepasan Sijil Pelajaran Malaysia adalah daripada kaum India. Bagi meningkatkan lagi populasi ini, kaum India seharusnya diberi akses untuk menerokai 60 program teknik dan vokasional yang ditawarkan di politeknik dan seterusnya dan seterusnya memberi peluang kepada mereka merebut peluang pekerjaan yang diwujudkan untuk meningkatkan taraf ekonomi diri dan keluarga.


Sehubungan dengan itu, Politeknik Muadzam Shah, Pahang dengan kerjasama Jabatan Pengajian Politeknik membuka peluang ini kepada pelajar-pelajar berbangsa India di seluruh Negara untuk mengambil peluang yang ada ini dengan memohon untuk melanjutkan pelajaran ke Politeknik di dalam membina masa depan yang cemerlang dan gemilang. Program selama 6 bulan ini terbahagi kepada kepada 2 iaitu Pra Sains dan Pra Perdagangan.

SYARAT KEMASUKAN PROGRAM
Syarat Am
  • Warganegara Malaysia
  • Tidak melebihi 23 tahun ketika memohon
  • Sihat tubuh badan
  • Tidak mendapat mana-mana tawaran untuk pelanjutkan pengajian di mana-mana institusi pengajian tinggi awam lain


Syarat Akademik
Lulus Sijil Pelajaran Malaysia dengan KEPUJIAN dalam 3 mata pelajaran serta memenuhi syarat minimum berikut :
  • Lulus Bahasa Malaysia / Bahasa Melayu
  • Lulus Bahasa Inggeris
  • Lulus Matematik / Matematik Tambahan

Sila download borang permohonan di bawah ;

Permohonan yang telah lengkap hendaklah dihantar ke alamat berikut :

UNIT HAL EHWAL PELAJAR
Politeknik Muadzam Shah
Lebuhraya Tun Abdul Razak
26700 Muadzam Shah
Pahang

TARIKH TUTUP PERMOHONAN PADA 20 APRIL 2013

Tuesday, April 9, 2013

JANGAN SILAP MEMILIH PROGRAM



Kesilapan memilih program pengajian  yang bersesuaian dengan keputusan peperiksaan ketika mengisi borang Unit Pusat Universiti (UPU) secara online menyebabkan ramai yang tidak terpilih untuk melanjutkan pengajian mereka ke Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA). Sikap suka ikut kawan selain cenderung memohon program yang popular atau kompetitif di IPTA sekalipun memiliki kelayakan yang rendah serta tidak memenuhi syarat khas yang ditetapkan oleh institusi berkaitan turut dikatakan mempengaruhi kegagalan.

Calon lepasan SPM terutamanya seharusnya bijak memilih program yang bersesuaian dengan kelayakan mereka jika ingin merebut tempat di IPTA. Ini kerana ramai calon kurang meneliti syarat khas sesuatu program yang ditetapkan bagi pengajian yang dipohon melalui e-panduan yang disediakan oleh Bahagian Pengurusan Kemasukan Pelajardi Jabatan Pengajian Tinggi. Calon ternyata lebih cenderong memilih program mengikut sesuka hati mereka meyebabkan ada yang tidak dapat tawaran kerana tidak memenuhi syarat am yang telah ditetapkan. Selain itu calon juga mungkin kurang mendapatmaklumat yang tepat dan terkini daripadaguru bimbingan dan kaunselingberhubung dasar serta prosedur untuk permohonan ke IPTA.

Semua ini adalah faktor yang seringkali mempengaruhi dalam membuat pilihan jurusan di IPT kelak. Kehendak, Keupayaan dan Minat. Dan apakah penyelesaian kepada perkara ini. Bagaimana mahu membuat keputusan dan pilihan yang tepat? Jawapannya terletak dalam diri anda sendiri. Tepuk dada tanya selera. Mengikut kehendak peribadi, ibubapa atau pasaran? Memanipulasi keupayaan diri yang dianugerahkan atau meneruskan minat pada sesuatu perkara? Walau apapun jurusan yang dipilih, diploma itu akan kekal menjadi 'Hanya Sekeping Kertas' jika ianya tidak diisi dan dicoret dengan sempurna.



Saturday, April 6, 2013

PMS TAWAR 650 TEMPAT,PELUANG UNTUK LEPASAN SPM & LEPASAN SIJIL POLITEKNIK DAN KOLEJ KOMUNITI


Politeknik Muadzam Shah menawarkan 650 tempat untuk Lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM)  dan Lepasan Sijil Politeknik/Kolej Komuniti bagi membolehkan mereka meneruskan pengajian bagi Sesi Kemasukan Jun 2013 berdasarkan dari norma ambilan pelajar yang dikeluarkan oleh Jabatan Pengajian Politeknik.  Sehingga kini lebih daripada 90,000 permohonan diterima dari kumpulan lepasan SPM. Bilangan ini menunjukkan peningkatan di dalam menjadikan politeknik sebagai institusi pilihan pertama pelajar untuk melanjutkan pelajaran mereka.

Selain daripada menawarkan program yang berdaya saing, PMS juga dalam usaha untuk mendapat kelulusan dan pengiktirafan daripada Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) dan agensi kerajaan dari dalam dan luar Negara. Sebahagian besar pelajar ini memilih Politeknik kerana program pengajiannya bersesuaian dengan keperluan industri dan memudahkan pelajar bersaing di dalam pasaran kerja. Pelajar lulusan politeknik KPT ini juga berpeluang untuk meneruskan pengajian di peringkat Ijazah di Universiti tempatan.


Wednesday, April 3, 2013

KINI KEMBALI DENGAN INFO TERKINI


Assalamualaikum dan Salam Sejahtera 

Alhamdulillah, saya memanjatkan setinggi-tinggi kesyukuran ke hadrat Allah S.W.T kerana dengan izin dan limpah kurnia-Nya maka kita semua masih diberi ruang dan peluang untuk berbakti dibumi Allah ini. Sudah agak lama rasanya tidak menulis blog ini disebabkan kesibukan aktiviti dan kerja-kerja di HEP namun di atas permintaan ramai terpaksa juga dicoretkan untuk memberi informasi dan perkembangan terkini tentang apa yang berlaku di Politeknik Muadzam Shah.

Sejak berpindah ke kampus baru, Politeknik Muadzam Shah telah menyaksikan pelbagai perkembangan dimana jumlah pelajar telah bertambah pada setiap semester. Situasi ini menunjukkan bahawa Politeknik KPTM masih lagi menjadi pilihan bagi pelajar yang meminati bidang teknikal untuk menyambungkan pelajaran mereka. Sepanjang tempoh itu juga, pelbagai pencapaian juga telah diraih menerusi penganjuran pelbagai aktiviti yang melibatkan para pelajar dan juga staf.

Penganjuran pelbagai aktiviti terutamanya kepada pelajar ini adalah sangat penting sebagai satu platform untuk Politeknik Muadzam Shah menghasilkan graduan yang berkualiti dan berdaya saing di dalam memenuhi keperluan industri dan aspirasi negara. Justeru itu bagi meluaskan akses pendidikan maka Unit Hal Ehwal Pelajar menerbitkan laman web ini bagi memperbaiki sistem informasi agar lebih berkesan, cepat dan pantas didalam penyebaran maklumat samda di dalam atau diluar politeknik.

Untuk pengetahuan semua, laman blog ini BUKAN laman web rasmi politeknik akan tetapi ianya digubah atas dasar mewujudkan rangkaian dan perhubungan yang lebih meluas agar maklumat yang hendak disampaikan dapat dikongsi bersama selaras dengan teknologi yang ada pada masa kini.

Akhir kata, kami di Unit HEP memerlukan sokongan daripada semua pihak di dalam membangunkan potensi dan jatidiri pelajar agar dapat menjadi insan yang bergelar pemimpin yang akan menggerakkan ekonomi negara pada masa akan datang. Diharapkan Politeknik Muadzam Shah mampu bersaing setanding dengan IPTA lain dari segenap aspek. Sesiapa jua boleh memberi komen dan pandangan agar dapat kita berkonsi idea dan pendapat melalui blog ini untuk kita bersama-sama memajukan Politeknik Muadzam Shah di dalam segenap bidang. SEKIAN.


Friday, March 29, 2013


Permohonan Kemasukan Ke Politeknik Premier, Konvensional & METrO bagi Lulusan SPM

Warganegara Malaysia Lulusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dipelawa untuk memohon kemasukan ke program pengajian peringkat Diploma Sesi Akademik 2013 di Politeknik KPT. Sila layari http://upu.mohe.gov.my atau http://www.politeknik.edu.my



Saturday, March 23, 2013

TRANSFORMASI PMS


Halatuju Politeknik Muadzam Shah mempunyai matlamat bagi membangunkan sumber manusia negara dalam memenuhi keperluan Model Baharu Ekonomi (MBE) yang memberi penekanan kepada upaya inovasi dan kreativiti dan menyediakan PMS menghadapi pelbagai senario dan cabaran masa hadapan. Seiring dengan PSPTN dan transformasi pendidikan serta latihan negara, transformasi PMS dilaksanakan untuk menghasilkan modal insan yang mempunyai mentaliti kelas pertama dan menepati kehendak pasaran.

Konsep transformasi PMS merangkumi perubahan sistemik yang menjurus kepada pewujudan institusi pilihan, penghasilan siswazah yang menepati kehendak pasaran (employable graduates) dan pembinaan persepsi positif dalam kalangan masyarakat terhadap pendidikan politeknik. Aspek yang dicakupi melibatkan pemerkasaan dasar, penambahbaikan reka bentuk proses, penyampaian dan penilaian program, penyampaian kurikulum yang mantap, penjaminan kualiti program, pembangunan tenaga pengajar yang kompeten, pelajar yang berkualiti, sumber dan kemudahan yang lengkap dan usaha inovasi yang berterusan.

PMS juga mempunyai peranan yang khusus untuk menangani perubahan ekosistem pengajian tinggi negara yang bukan sahaja memerlukan modal insan berilmu tinggi tetapi juga mempunyai kemahiran pada peringkat tinggi. Negara perlu meningkatkan peratusan tenaga kerja berkemahiran tinggi daripada 23% kepada 37% menjelang tahun 2015. Justeru, Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TEVT) perlu diarusperdanakan sebagai langkah merealisasi sasaran negara termasuk meningkatkan imej TEVT pada pandangan masyarakat. Justeru itu seluruh warga PMS disarankan supaya bersama-sama menggembeling tenaga agar matlamat ini dapat dicapai. 

Sunday, January 15, 2012

PENUBUHAN ASKAR WATANIAH PMS

Askar Wataniah (AW) adalah badan sekarela yang berlainan dari badan sukarela yang lain. Ahli merupakan angkatan simpanan Tentera Darat Malaysia sebagai benteng kedua di dalam mempertahankan Negara kita yang tercinta. Jesteru itu pihak Politeknik Muadzam Shah dengan kerjasama Angkatan Tentera Malaysia mempelawa pelajar-pelajar PMS menganggotai Askar Wataniah yang mana ia menrupakan satu sumbangan murni di dalam menyahut seruan ibu pertiwi. Disamping itu juga pelajar akan dapat membina jatidiri serta memperolehi pengalaman baru di dalam bidang ketenteraan.


Sehubungan dengan itu PMS mempelawa seberapa ramai pelajar untuk menyertai Askar Wataniah dengan harapan agar pelajar lebih berdisiplin dan mempunyai semangat juang yang tinggi. Disamping itu juga pelajar boleh memperolehi wang saku hasil daripada elaun yang disediakan untuk menampung sedikit sebanyak perbelanjaan semasa di Politeknik.


Taklimat akan diadakan pada hari Khamis (19.01.2012) Jam 2.30 petang di Dewan Kuliah Utama. Taklimat tersebut akan disampaikan oleh Kapt. Azmi dariapda Batallion 4 (Rej 505) Askar Wataniah, Jalan Teluk Sisik, Kuantan.

Apakah yang anda perolehi apabila menyertai Askar Wataniah ?


  • Berjasa dengan menyumbang kepada pertahanan negara.
  • Mengisi masa lapang yang sebaliknya akan terbiar sekiranya tidak menyertai sebarang aktiviti kumpulan sosial.
  • Mempelajari kepakaran dalam pasukan Askar Wataniah yang dipilih.
  • Membina dan membangunkan perwatakan tanpa mengeluarkan wang ringgit.
  • Menambah kenalan/sahabat dari pelbagai lapisan masyarakat.
  • Berpeluang melawat/menghadiri latihan di pusat latihan dan pasukan-pasukan di seluruh negara.
  • Elaun semasa latihan hujung minggu dan gaji bagi latihan melebihi 72 jam dan perkhemahan tahunan.
  • Bounti/Saguhati tahunan.
  • Perlindungan kemalangan sama seperti Angkatan Tetap.
  • Elaun Perjalanan ke tempat latihan dan kemudahan perubatan.
  • Layak menyertai Insurans Berkelompok ATM.
  • Cuti tanpa rekod bagi menyertai latihan selama 30 hari dalam satu tahun (bagi kakitangan kerajaan sahaja).
  • Boleh dikerah untuk berkhidmat sepenuh masa mengisi perjawatan tetap dalam kor-kor yang berkaitan bagi mereka yang layak.
  • Layak mendapat kemudahan pembelian barangan PERNAMA PERWIRA NIAGA seperti mana Anggota Tetap.
·       

Insentif Askar Wataniah


Dalam Askar Wataniah setiap individu berpeluang meningkatkan kerjaya masing-masing dalam pasukan Sukarela dengan mendapat peluang-peluang berikut:
  • Kursus Kerjaya - Berpeluang mengikuti kursus-kursus kerjaya di Pusat Latihan Askar Wataniah (PUSWATAN) di Ipoh atau pasukan-pasukan penganjur yang lain.
  • Kursus Fungsional - Berpeluang menghadiri kursus fungsional untuk meningkatkan kemahiran dalam bidang-bidang ketenteraan.
  • Kenaikan Pangkat dan Pentauliahan - Anggota-anggota yang layak dan memenuhi syarat-syarat berpeluang dinaikkan pangkat dan bagi anggota-anggota yang mempunyai kelayakan akademik berpeluang ditauliahkan sebagai pegawai.
  • Imbuhan Elaun - Setiap anggota Sukarela akan dibayar elaun bagi setiap latihan yang dihadiri. Jenis-jenis elaun yang disediakan adalah seperti berikut:
  • Elaun Kehadiran: (Pegawai RM 5.80/LLP RM 4.00) - Elaun ini dibayar berasaskan jumlah jam kehadiran ke latihan tempatan.
  • Pemberian Pakar: (Pegawai RM 300.00/LLP RM 200.00) - Untuk pegawai atau anggota ditauliahkan/didaftarkan untuk tempoh tidak kurang daripada empat tahun.
  • Elaun Pakaian 'Outfit': Dibayar sekali semasa pentauliahan seseorang pegawai angkatan sukarela.
  • Elaun Senggaraan Pakaian: (RM 125.00) - Dibayar setahun sekali dikira dari tarikh pentauliahan.
  • Elaun Pakaian Istiadat: (RM 750.00) - Boleh dituntut lima tahun sekali bermula dari tarikh pentauliahan pegawai berkenaan.
  • Elaun Pakaian Tauliah Kehormat: (RM 1000.00) - Dibayar sekali semasa pegawai diberi tauliah kehormat seseorang pegawai angkatan sukarela.
  • Elaun Pengangkutan: Anggota yang menggunakan kenderaan sendiri/pengangkutan awam layak menuntut elaun perjalanan dengan syarat-syarat tertentu.
  • 'Bounti':Memenuhi syarat:

    - Kadar Penuh RM 520.00.
    - Kadar Tiga Suku RM 390.00
    -  Kadar Separuh RM 260.00
  • Gaji Dan Lain-Lain Elaun Angkatan Tetap: Dibayar apabila anggota menjalani latihan berterusan dan kem tahunan dengan memenuhi syarat-syaratnya.
  • Elaun Tamat Perkhidmatan: Mobilisasi 15% X Jumlah Bulan Genap Perkhidmatan Diakui X Gaji Akhir Pangkat Hakiki.

Thursday, December 15, 2011

BAUCAR BUKU UNTUK PELAJAR PMS


Baucar buku bernilai RM200.00 untuk diagihkan kepada pelajar yang layak tidak lama lagi kepada pelajar Politeknik Muadzam Shah, sah laku selama 3 bulan dari 1 Januari sehinggan 31 Mac tahun hadapan. Baucar ini adalah untuk pembelian buku akademik, journal, majalah ilmiah serta peralatan pembelajaran masing-masing dan pelajar tidak dibenarkan sama sekali menebusnya dengan wang tunai.


Baucar buku boleh ditebus disemua kedai buku yang menyertai program ini. Penyertaan kedai buku terbuka kepada semua. Tuntutan bayaran balik baucar akan dibuat oleh kedai buku terus kepada Bank Simpanan Nasional (BSN). Semua warganegara Malaysia yang berdaftar sebagai pelajar aktif di Politeknik Muadzam Shah serta mengikuti pengajian pada peringkat diploma secara sepenuh masa pada Januari depan layak mendapat baucar buku berkenaan.


Pengagihan baucar buku pelajar dibuat melalui Politeknik pada bulan depan. Pihak Politeknik akan menghubungi pelajar apabila baucar tersebut sampai. Pihak HEP Politeknik Muadzam Shah telah pun menghantar senarai nama pelajar serta nombor kad pengenalan dan nombor pendaftaran pelajar yang aktif.


Pihak kami mengharapkan agar duit yang bakal didapati oleh para pelajar digunakan dengan sebaik mungkin untuk membeli buku-buku yang berfaedah disamping dapat mengurangkan bebanan yang ditanggung oleh keluarga masing-masing.

Thursday, November 17, 2011

SELAMAT DATANG KEPADA PELAJAR BARU


Saya mewakili seluruh warga Muadzam Shah mengucapkan TAHNIAH dan SYABAS kerana telah Berjaya mendapat tempat untuk melanjutkan pelajaran ke Politeknik Muadzam Shah bagi KEMASUKAN SESI DISEMBER 2011
Surat panggilan kemasukan pelajar telah diposkan kepada anda dan diharapkan pihak saudara/i dapat DOWNLOAD “Panduan Kemasukan Dan Pendaftaran” bagi Politeknik Muadzam Shah di alamat seperti berikut :


dan Pelan untuk menuju ke Politeknik Madzam Shah ;


Diharapkan pihak saudara/i dapat membaca Buku Panduan ini dengan teliti dan isikan butiran yang diperlukan agar dapat melancarkan proses pendaftaran yang akan diadakan.

Untuk pengetahuan pihak saudara/i, Sesi Kemasukan Disember 2011 ini dimulai dengan Pendaftaran Asrama pada 18 hb Disember 2011 (Ahad) di Kafeteria Politeknik kerana kawasan ini berhampiran dengan penginapan para pelajar. Saya pasti ramai ibu bapa yang telah membuat rancangan awal untuk menghantar anak mereka ke Politeknik dan tambahan pula hari tersebut adalah hari minggu, maka ramai ibu bapa tidak perlu mengambil cuti pada hari tersebut.

Untuk pengetahuan semua, Politeknik Muadzam Shah mempunyai 10 blok asrama bagi pelajar perempuan dan lelaki dan setiap blok tersebut mampu untuk menampung seramai 360 orang pelajar dalam satu-satu masa.


Untuk pengambilan pada kali ini semua pelajar telah pun ditawarkan asrama bagi kemudahan mereka. Jesteru itu ada beberapa keperluan yang perlu dibawa semasa mendaftar masuk ke asrama yang mana keperluan ini tidak disediakan oleh pihak politeknik iaitu ;
i.                     Cadar / Sarung tilam
ii.                   Sarung bantal
iii.                 Selimut
iv.                 Telekong pelajar Islam (bagi perempuan untuk menunaikan solat)
v.                   Baju Melayu dan Kain Sarung (bagi lelaki)
vi.                 Sejadah
vii.               Songkok / kupiah bagi menunaikan solat
viii.             Lain-lain keperluan diri.



Akhir kata pihak kami mengalu-alukan kedatangan anda dan gunakanlah kesempatan ini untuk menimba seberapa banyak ilmu demi mencapai cita-cita dan impian terutama dari pihak keluarga dan hargai jasa dan mengorbanan mereka.

Sebarang pertanyaan dan kemusykilan bolehlah menghubungi pihak saya di email


MOHD HAZELY BIN ABDUL RAHIM
Pegawai Hal Hal Pelajar
(Pengambilan & Data)
Politeknik Muadzam Shah
Pahang