Sunday, April 21, 2013

SELAMAT MENGHADAPI PEPERIKSAAN AKHIR SEMESTER


SELAMAT MENGHADAPI PEPERIKSAAN AKHIR SEMESTER SESI DISEMBER 2012

Terlebih dahulu saya mewakili seluruh warga Hal Ehwal Pelajar, Politeknik Muadzam Shah ingin mengucapkan Selamat menduduki peperiksaan Akhir Semester Sesi Disember 2012 yang akan bermula pada 22 April 2013. Pihak kami juga sentiasa mendoakan kejayaan anda semua. Buatlah yang terbaik untuk diri dan masa depan anda.

Berikut ada beberapa tip untuk menghadapi peperiksaan yang boleh kita kongsi bersama :

Semak Jadual Peperiksaan

Menyemak jadual peperiksaan itu penting bagi menentukan masa cukup untuk belajar, khususnya pada saat-saat akhir ini. Latih tubi perlu dipergiatkan untuk mempertajamkan lagi daya ingatan anda. Apa yang ingin saya ingatkan disini ialah semak jadual waktu dengan teliti kerana ada kes yang berlaku didapati bahawa peperiksaan berlangsung pada waktu pagi, manakala pelajar datang pada waktu petang. Jadi buatlah persiapan yang rapi untuk menghadapi peperiksaan tersebut.

Kunci Peperiksaan

Peperiksaan menuntut pelajar membuat banyak latihan dan ulangkaji bagi mengingati pelajaran lalu, selain mengelak diri daripada lupa fakta ketika menjawab soalan. Baca arahan dan kehendak soalan dan jawablah dengan hati yang tenang bukan mengikut sesedap hati. Nanti markah yang diperolehi juga akan menjadi sesedap hati pensyarah yang menanda kertas jawapan.

Tentukan Keutamaan

Kebanyakan pelajar suka belajar pada sat-sat akhir. Jika ini berlaku anda perlu mengutamakan kursus atau subjek yang mempunyai nilai kredit yang tinggi berbanding dengan nilai kredit yang rendah kerana nilai kredit yang tinggi yang mempengaruhi keputusan peperiksaan anda. Jangan sekali-kali belajar subjek yang anda sukai saja, sebaliknya hendaklah merangkumi semua.

Banyak Mengingat dan Mambuat Kaitan

Mengingat adalah satu perkara yang penting yang mesti dilakukan oleh pelajar dalam menghadapi peperiksaan terutama soalan yang berkaitan dengan fakta. Pelbagai cara yang boleh digunakan untuk mengingat, antaranya latih tubi dan belajar berulang kali mengenai sesuatu perkara. Selain daripada itu kenalah banyak makan kismis minda.



Merancang Persiapan Peperiksaan

Kesihatan diri jangan diabaikan. Walaupun anda bersemangat untuk menduduki peperiksaan, jangan keterlaluan hingga lupa makan dan minum. Ini kerana keadaan itu boleh menyebabkan anda jatuh sakit. Tidur juga hendaklah mencukupi supaya sentiasa selesa dan dapat memberi tumpuan terhadap pelajaran.

Elakkan terbabit dengan situasi yang boleh mengganggu perasaan

Menjelang peperiksaan, pelbagai dugaan mungkin dihadapi. Oleh itu anda seharusnya sentiasa bersedia menghadapi apa saja dugaan yang boleh mengganggu perasaan. Selepas menunaikan solat 5 waktu, berdoalah supaya Allah tenangkan perasaan dan dapat fokuskan tumpuan terhadap peperiksaan.

Berdoa dan Bertawakkal

Dalam hal ini, anda tidak seharusnya kurang yakin dengan potensi diri yang ada untuk menghadapi peperiksaan jika kita telah membuat persediaan yang rapi. Sepatutnya kita perlu banyak berdoa dan tawakkal kepada Allah kerana Allah jua yang menentukan segalanya. Terimalah ketentuan ilahi.

Akhirkata Selamat Menghadapi Peperiksaan dan buatlah persiapan yang cukup untuk menghadapi peperiksaan itu nanti.


Tuesday, April 16, 2013

MENGUBAH DESTINI ANAK BANGSA



DASAR, PROSEDUR DAN KRETERIA PEMILIHAN MEKANISME MOD KEMASUKAN BAHARU BAGI BOTTOM 40% HOUSEHOLD

PEMILIHAN PELAJAR

Pemilihan pelajar adalah terdiri daripada mereka yang memiliki kelayakan akademik yang minimum, iaitu memenuhi Syarat Am Universiti dan Syarat Khas Program Pengajian yang ditetapkan serta melalui proses penetapan status yang mempunyai nilai kesahan dan integriti yang tinggi seperti berikut :

i)        Status Sosioeknomi calon dan ibubapa yang merangkumi pendapatan bulanan serta bilangan tanggungan keluarga, pekerjaan ibubapa atau penjaga, status ibu atau bapa tunggal dan status anak yatim ;

ii)        Status tempat tinggal dan sekolah yang merangkumi lokaliti tempat tinggal, status sekolah, jenis rumah yang diduduki,

iii)     Status kaum calon, ibu bapa atau penjaga yang merangkumi status kewarganegaraan serta status kaum calon, ibu bapa atau penjaga.

iv)       Status kesihatan atau kecacatan calon, ibu bapa atau penjaga yang merangkumi status OKU serta status kesihatan ibu bapa atau penjaga yang uzur atau berusia atau calon, ibu bapa atau penjaga yang mengidap penyakit kronik yang memerlukan rawatan susulan dan

v)       Status penerimaan bantuan atau kebajikan dari Kerajaan oleh ibu bapa atau calon yang merangkumi status pendaftaran atau status penerimaan bantuan bulanan, biasiswa, dermasiswa atau pinjaman oleh calon, ibu bapa atau penjaga.



BILANGAN TEMPAT

Bilangan tempat yang disedikan kepada pelajar berkaitan tidak mengganggu unjuran dan kapasiti ambilan pelajar sedia ada di IPTA dan politeknik. Semua IPTA dan politeknik boleh menyediakan sekurang-kurangnya 100 tempat kepada pelajar berkaitan bagi semua peringkat pengajian yang ditawarkan. Bilangan tempat ini melibatkan 100 tempat bagi setiap IPTA dan 100 tempat bagi setiap politeknik. Anggaran pelajar yang terlibat adalah sejumlah 5,200 orang pelajar.

PEMBIAYAAN PENGAJIAN

Pelajar yang terpilih melanjutkan pengajian pada peringkat Diploma di Politeknik akan dibiayai oleh Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional berdasarkan syarat dan prosedur sedia ada.



IMPLIKASI KEWANGAN

Pelaksanaan mekanisme mod kemasukan baharu Bottom 40% household bagi pelajar pada peringkat diploma di politeknik tidak memberikan implikasi tambahan peruntukan kewangan kepada kerajaan kerana mengguna pakai peruntukan sedia ada oleh politeknik.

Wednesday, April 10, 2013

MENGUBAH DESTINI ANAK INDIA MALAYSIA (MDAIM)



Dasar Kerajaan iaitu Program Mengubah Destini Anak India Malaysia telah dilancarkan di Politeknik Port Dickson bagi membantu anak-anak daripada kaum India yang berpendapatan kurang dari RM 3,000.00 dan tidak mempunyai syarat minimum bagi kemasukan ke Politeknik KPTM diberi peluang kedua mengubah nasib diri mereka. Tawaran ini khas ditujukan kepada anak-anak daripada masyarakat India yang tidak mencapai gred kemasukan biasa dan apa yang lebih penting adalah mereka ini golongan yang berpendapatan rendah yang perlu diberi bantuan. Dengan cara ini diharapkan mereka dapat mengubah diri dan nasib mereka di dalam menuju kearah peningkatan ekonomi keluarga dan Negara. Program ini adalah satu program Pra-Diploma yang memberi laluan khas kepada lulusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) daripada kaum India di Negara kita.


Ini adalah satu lagi usaha kerajaan membantu mereka yang tidak bernasib baik untuk mengubah nasib mereka selaras dengan system pengajian tinggi yang memastikan semua golongan berpeluang melanjutkan pelajaran ke IPTA. Melalui program Pra –Diploma ini juga, peratusan kemasukan pelajar India di Politeknik dapat ditingkatkan melebihi 10 peratus bagi setiap tahun. Berdasarkan daripada perangkaan yang dibuat didapati bahawa pada tahun 2012 sebanyak 3,910 daripada 110,513 permohonan kemasukan ke politeknik bagi lepasan Sijil Pelajaran Malaysia adalah daripada kaum India. Bagi meningkatkan lagi populasi ini, kaum India seharusnya diberi akses untuk menerokai 60 program teknik dan vokasional yang ditawarkan di politeknik dan seterusnya dan seterusnya memberi peluang kepada mereka merebut peluang pekerjaan yang diwujudkan untuk meningkatkan taraf ekonomi diri dan keluarga.


Sehubungan dengan itu, Politeknik Muadzam Shah, Pahang dengan kerjasama Jabatan Pengajian Politeknik membuka peluang ini kepada pelajar-pelajar berbangsa India di seluruh Negara untuk mengambil peluang yang ada ini dengan memohon untuk melanjutkan pelajaran ke Politeknik di dalam membina masa depan yang cemerlang dan gemilang. Program selama 6 bulan ini terbahagi kepada kepada 2 iaitu Pra Sains dan Pra Perdagangan.

SYARAT KEMASUKAN PROGRAM
Syarat Am
  • Warganegara Malaysia
  • Tidak melebihi 23 tahun ketika memohon
  • Sihat tubuh badan
  • Tidak mendapat mana-mana tawaran untuk pelanjutkan pengajian di mana-mana institusi pengajian tinggi awam lain


Syarat Akademik
Lulus Sijil Pelajaran Malaysia dengan KEPUJIAN dalam 3 mata pelajaran serta memenuhi syarat minimum berikut :
  • Lulus Bahasa Malaysia / Bahasa Melayu
  • Lulus Bahasa Inggeris
  • Lulus Matematik / Matematik Tambahan

Sila download borang permohonan di bawah ;

Permohonan yang telah lengkap hendaklah dihantar ke alamat berikut :

UNIT HAL EHWAL PELAJAR
Politeknik Muadzam Shah
Lebuhraya Tun Abdul Razak
26700 Muadzam Shah
Pahang

TARIKH TUTUP PERMOHONAN PADA 20 APRIL 2013

Tuesday, April 9, 2013

JANGAN SILAP MEMILIH PROGRAM



Kesilapan memilih program pengajian  yang bersesuaian dengan keputusan peperiksaan ketika mengisi borang Unit Pusat Universiti (UPU) secara online menyebabkan ramai yang tidak terpilih untuk melanjutkan pengajian mereka ke Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA). Sikap suka ikut kawan selain cenderung memohon program yang popular atau kompetitif di IPTA sekalipun memiliki kelayakan yang rendah serta tidak memenuhi syarat khas yang ditetapkan oleh institusi berkaitan turut dikatakan mempengaruhi kegagalan.

Calon lepasan SPM terutamanya seharusnya bijak memilih program yang bersesuaian dengan kelayakan mereka jika ingin merebut tempat di IPTA. Ini kerana ramai calon kurang meneliti syarat khas sesuatu program yang ditetapkan bagi pengajian yang dipohon melalui e-panduan yang disediakan oleh Bahagian Pengurusan Kemasukan Pelajardi Jabatan Pengajian Tinggi. Calon ternyata lebih cenderong memilih program mengikut sesuka hati mereka meyebabkan ada yang tidak dapat tawaran kerana tidak memenuhi syarat am yang telah ditetapkan. Selain itu calon juga mungkin kurang mendapatmaklumat yang tepat dan terkini daripadaguru bimbingan dan kaunselingberhubung dasar serta prosedur untuk permohonan ke IPTA.

Semua ini adalah faktor yang seringkali mempengaruhi dalam membuat pilihan jurusan di IPT kelak. Kehendak, Keupayaan dan Minat. Dan apakah penyelesaian kepada perkara ini. Bagaimana mahu membuat keputusan dan pilihan yang tepat? Jawapannya terletak dalam diri anda sendiri. Tepuk dada tanya selera. Mengikut kehendak peribadi, ibubapa atau pasaran? Memanipulasi keupayaan diri yang dianugerahkan atau meneruskan minat pada sesuatu perkara? Walau apapun jurusan yang dipilih, diploma itu akan kekal menjadi 'Hanya Sekeping Kertas' jika ianya tidak diisi dan dicoret dengan sempurna.



Saturday, April 6, 2013

PMS TAWAR 650 TEMPAT,PELUANG UNTUK LEPASAN SPM & LEPASAN SIJIL POLITEKNIK DAN KOLEJ KOMUNITI


Politeknik Muadzam Shah menawarkan 650 tempat untuk Lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM)  dan Lepasan Sijil Politeknik/Kolej Komuniti bagi membolehkan mereka meneruskan pengajian bagi Sesi Kemasukan Jun 2013 berdasarkan dari norma ambilan pelajar yang dikeluarkan oleh Jabatan Pengajian Politeknik.  Sehingga kini lebih daripada 90,000 permohonan diterima dari kumpulan lepasan SPM. Bilangan ini menunjukkan peningkatan di dalam menjadikan politeknik sebagai institusi pilihan pertama pelajar untuk melanjutkan pelajaran mereka.

Selain daripada menawarkan program yang berdaya saing, PMS juga dalam usaha untuk mendapat kelulusan dan pengiktirafan daripada Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) dan agensi kerajaan dari dalam dan luar Negara. Sebahagian besar pelajar ini memilih Politeknik kerana program pengajiannya bersesuaian dengan keperluan industri dan memudahkan pelajar bersaing di dalam pasaran kerja. Pelajar lulusan politeknik KPT ini juga berpeluang untuk meneruskan pengajian di peringkat Ijazah di Universiti tempatan.


Wednesday, April 3, 2013

KINI KEMBALI DENGAN INFO TERKINI


Assalamualaikum dan Salam Sejahtera 

Alhamdulillah, saya memanjatkan setinggi-tinggi kesyukuran ke hadrat Allah S.W.T kerana dengan izin dan limpah kurnia-Nya maka kita semua masih diberi ruang dan peluang untuk berbakti dibumi Allah ini. Sudah agak lama rasanya tidak menulis blog ini disebabkan kesibukan aktiviti dan kerja-kerja di HEP namun di atas permintaan ramai terpaksa juga dicoretkan untuk memberi informasi dan perkembangan terkini tentang apa yang berlaku di Politeknik Muadzam Shah.

Sejak berpindah ke kampus baru, Politeknik Muadzam Shah telah menyaksikan pelbagai perkembangan dimana jumlah pelajar telah bertambah pada setiap semester. Situasi ini menunjukkan bahawa Politeknik KPTM masih lagi menjadi pilihan bagi pelajar yang meminati bidang teknikal untuk menyambungkan pelajaran mereka. Sepanjang tempoh itu juga, pelbagai pencapaian juga telah diraih menerusi penganjuran pelbagai aktiviti yang melibatkan para pelajar dan juga staf.

Penganjuran pelbagai aktiviti terutamanya kepada pelajar ini adalah sangat penting sebagai satu platform untuk Politeknik Muadzam Shah menghasilkan graduan yang berkualiti dan berdaya saing di dalam memenuhi keperluan industri dan aspirasi negara. Justeru itu bagi meluaskan akses pendidikan maka Unit Hal Ehwal Pelajar menerbitkan laman web ini bagi memperbaiki sistem informasi agar lebih berkesan, cepat dan pantas didalam penyebaran maklumat samda di dalam atau diluar politeknik.

Untuk pengetahuan semua, laman blog ini BUKAN laman web rasmi politeknik akan tetapi ianya digubah atas dasar mewujudkan rangkaian dan perhubungan yang lebih meluas agar maklumat yang hendak disampaikan dapat dikongsi bersama selaras dengan teknologi yang ada pada masa kini.

Akhir kata, kami di Unit HEP memerlukan sokongan daripada semua pihak di dalam membangunkan potensi dan jatidiri pelajar agar dapat menjadi insan yang bergelar pemimpin yang akan menggerakkan ekonomi negara pada masa akan datang. Diharapkan Politeknik Muadzam Shah mampu bersaing setanding dengan IPTA lain dari segenap aspek. Sesiapa jua boleh memberi komen dan pandangan agar dapat kita berkonsi idea dan pendapat melalui blog ini untuk kita bersama-sama memajukan Politeknik Muadzam Shah di dalam segenap bidang. SEKIAN.